Tuesday 20 December 2011

GLOBALISASI EKONOMI DAN KETAKSAMAAN:



Sejak penstrukturan semula organisasi firma antarabangsa dan proses pengeluaran dan  pembuatan di negara maju pada akhir 1970-an dan 1980-an, aktiviti perindustrian di dunia cenderung untuk bertumpu ke negara Asia Pasifik. Pada awalnya, taburan aktiviti perindustrian di negara tersebut cenderung untuk bertumpu ke bandar utama yang lebih maju. Namun keadaan ketakseimbangan ini telah dapat dikurangkan melalui perlaksanaan dasar penyahpusatan aktiviti pembuatan ke kawasan yang kurang maju. Pelbagai strategi digunakan untuk memajukan wilayah yang mundur termasuk strategi perindustrian dan pembandaran desa di wilayah kurang maju. Pelaburan asing dan tempatan dalam sektor pembuatan, pertanian dan perkhidmatan diberi galakan secukupnya melalui pelbagai insentif untuk menempatkan aktiviti mereka di kawasan yang kurang maju. Bagaimana pun, keadaan ini tidak dapat bertahan lama. Globalisasi ekonomi memberi cabaran yang hebat terhadap sebarang usaha untuk menyebarkan pembangunan ke kawasan kurang maju. Ini kerana syarikat gergasi MNC lebih cenderung menempatkan diri di kawasan yang sudah maju.
Globalisasi ekonomi seolah-olah tidak banyak membantu mana-mana negara yang berusaha untuk membangunkan kawasan yang masih mundur. Ini kerana dasar pembangunan sedemikian tidak menguntungkan. Pembangunan yang semata-mata memberi perhatian kepada keseimbangan antara wilayah, khususnya melalui pembagunan sumber alam dan perindustrian di kawasan yang masih mundur, kurang memberi impak kepada usaha memesatkan kadar pertumbuhan ekonomi negara atau dunia. Aktiviti perindustrian yang terlampau bergantung kepada penawaran buruh murah sebagai kaedah merendahkan kos pengeluaran dengan tumpuan kepada keluaran barangan penggantian import dan barangan pengguna tempatan juga dianggap tidak cukup berdaya saing. Pasaran dalam negara yang tidak luas serta wujudnya pelbagai kesukaran mengubah haluan kepada pengeluaran barangan untuk eksport, hanya menghasilkan pertumbuhan ekonomi jangka pendek dengan kadar yang amat perlahan (Schmitz 1984). Pendekatan pembangunan ini telah dianggap kurang relevan.

No comments:

Post a Comment