Monday 26 December 2011

Bilakah globalisasi ini bermula dan sejauh mana ia akan pergi?



Sebahagian daripada proses globalisasi berlaku akibat perubahan teknologi. Sebagai contoh teknologi komputer yang membolehkan wang dipindahkan, mata wang diniagakan atau saham dibeli dengan mudah.
Selain perkembangan teknologi yang pesat, faktor kedua yang mengembangkan globalisasi ke seluruh dunia ialah keruntuhan sistem Bretton Woods yang dibentuk selepas Perang Dunia Kedua.
Pada tahun 1972 sistem ini runtuh menyebabkan mata wang dunia boleh diapungkan antara satu sama lain. Ia kemudiannya membawa kepada penghapusan kawalan modal dan liberalisasi kewangan.
Pada tahap ini, pasaran saham pula turut diglobalkan dengan pelabur-pelabur asing boleh membawa wang keluar dan masuk dari sesebuah pasaran.
Dengan kadar mata wang yang tidak tetap dan pasaran modal yang terbuka, spekulasi mula muncul dan seterusnya manipulasi mata wang dan saham.
Ia kemudian membawa kepada peranan tiga buah institusi yang benar-benar menyebarkan globalisasi ke seluruh dunia iaitu Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).
Institusi-institusi ini membantu menurunkan hala-ngan ekonomi dan membentuk dasar-dasar yang membuka negara-negara membangun kepada ekonomi global, terutamanya dalam 20 tahun terakhir ini.

Globalisasi Ekonomi:Budaya,Politik dan Teknologi



Kuasa globalisasi yang paling asas ialah dari segi ekonomi, kerana apabila kita bercakap tentang globalisasi kita merujuk kepada globalisasi ekonomi dan bagaimana ia boleh mempengaruhi budaya, politik dan lain-lain.
Makna sebenar globalisasi ialah penghapusan halangan ekonomi antara sebuah negara dengan negara lain pada kadar yang amat pantas terutamanya dalam tiga aspek iaitu perdagangan, kewangan dan pelaburan.
Halangan perdagangan ini dibentuk oleh kebanyakan negara membangun selepas merdeka termasuk Malaysia melalui pengenalan dasar-dasar bagi meningkatkan ekonomi, syarikat dan institusi kewangan tempatan.
Dari segi pelaburan dan kewangan, sebahagian besar kerajaan termasuk di negara-negara kaya memiliki dasar yang mengawal pengaliran mata wang keluar atau masuk dan sama ada mata wang tempatan boleh diperdagangkan di luar negara.
Ia adalah sistem yang digunakan selepas Perang Dunia Kedua dahulu yang menetapkan mata wang dan bank pusat menentukan sama ada wang boleh keluar atau tidak. Ia adalah kawalan modal dan satu perkara biasa.
Globalisasi berlaku dalam ketiga-tiga aspek tadi iaitu perdagangan, kewangan dan pelaburan apabila dasar-dasar kerajaan yang mengawal ekonomi asing daripada mempengaruhi ekonomi tempatan semakin longgar.
Pada masa sekarang, sebahagian besar dasar-dasar ekonomi sesebuah negara dipengaruhi dengan cepat oleh apa yang berlaku di negara lain.

Imperialisme, Anti-Imperialisme dan Sosialisme






Imperialisme merupakan sistem yang terus berkembang. Sejak hari-hari terawal kapitalisme, perluasan antarabangsa ditulis ke dalam strukturnya. Gabungan dengan Scotland dan penjajahan Ireland mewujudkan salah satu daripada negara kapitalis terawal, iaitu Britain. Kedua-dua peristiwa ini dibentukkan oleh revolusi pada abad ke-17. Dan salah satu peperangan pertama selepas revolusi itu adalah menentang negara kapitalis kedua besar di pada masa itu, iaitu republik Belanda. Negara-negara kapitalis membangun dan empayar-empayar pra-kapitalis yang merosot bertempur untuk kekuasaan di Afrika, Asia dan Asia Timur. Selama dua abad, Britain, Belanda, Perancis, Jerman, Itali dan kuasa-kuasa besar lain bergelut untuk menguasai dunia, dan untuk mendiamkan penduduk tempatan serta kuasa-kuasa kecil.

Kemuncaknya dicapai pada abad ke-20 apabila kuasa-kuasa kapitalis bertempur dalam dua peperangan dunia, dan berkali-kali dalam konflik-konflik penjajahan. Pada permulaan abad itu, Lenin dan Bukharin menggariskan dua desakan yang bercanggah dalam sistem kapitalis moden. Bukharin menulis, “Bersana dengan internasionalisasi ekonomi dan internasionalisasi kapital, terdapat proses pemintalan ‘nasional’ kapital, sebuah proses ‘menasionalisasi’ kapital, yang dilanda akibat-akibat yang paling besar.” Globalisasi dalam satu tangan dan rangkaian industri-tentera kerajaan moden dalam tangan sebelah adalah bentuk moden percanggahan ini. Akibatnya adalah bahawa persaingan ekonomi dan ketidak-samarataan serta ketidak-stabilan yang diciptakan olehnya menghasilkan persaingan ketenteraan dan peperangan. Desakan menuju peperangan telah meretakkan dan menghasilkan semula sistem imperialis sepanjang abad ke-20.

Sejak Perang Dunia Kedua, kebanyakan negara jajahan rasmi telah mencapai kemerdekaan. Negara-negara tertindas telah datang dan pergi, memperjuangkan usaha mereka, dan memasuki sistem negara-negara antarabangsa dalam susunan yang lebih kurang berturutan. Proses ini bermula dengan negara-negara jajahan Amerika Syarikat pada tahun 1770-an dan berterusan sehingga pembebasan Ireland dan India, di antara yang lain, pada abad ke-20. Tetapi ini tidak bermakna bahawa persoalan kebangsaan telah melesap – hanya bahawa ia, seperti imperialisme sendiri, berkembang menjadi bentuk baru. Kelas-kelas pemerintah tempatan yang menggantikan tempat ketua-ketua penjajah seringkali berhadapan dengan kuasa-kuasa nasionalis bary dalam sempadan mereka sendiri. Misalnya, kelas pemerintah Indonesia selepas kemerdekaan bertempur untuk menindas rakyat Timor Timur. Kelas-kelas pemerintah baru ini juga terpaksa begelut dengan kekuatan ekonomi dan ketenteraan kuasa-kuasa besar. Dan ini membawa kita kembali keperluan, seperti yang diperdebatkan oleh Lukacs, untuk memahami setiap perjuangan anti-imperialis dari pandangan susunan kuasa-kuasa dalam sistem imperialis secara menyeluruh.

Namun demikian, terdapat satu posisi tetap dari mana penaksiran ini dapat dibuat. Sambil pemerintah dan bakal pemerintah mereka bergelut di antara penjajahan dan kemerdekaan, penyesuaian diri dan keseteruan, kuasa ekonomi antarabangsa yang tidak dapat dielakkan dan keberatan negara-negara besar membebankan para pekerja dan petani di masyarakat-masyarakat ini. Di sinilah kita mendapati satu kuasa yang terus menentang sistem imperialis sepanjang perkembangannya. Walau apa pun bentuknya – dari pertumbuhan perdagangan hamba kuno, hingga ke negara-negara jajahan awal, sehinggalah peperangan-peperangan imperialis pada abad ke-20 – kelas-kelas ini senantiasa menentang sistem. Perjuangan mereka tidak selalu berakhir dalam kejayaan. Ia seringkali berdiam diri untuk jangka masa yang lama. Tetapi ia juga telah bangkit berkali-kali untuk menentang kuasa-kuasa imperialis dan sistem kapitalis.

Marx mengutarakan fakta penting bahawa tidak kira betapa luasnya hubungan kapitalis mengubah  struktur ekonomi bagi apa yang kini diberikan nama Dunia Ketiga, tidak kira berapa banyak negara mencapai kemerdekaam, tugas asas bagi kemerdekaan umat manusia masih jatuh pada bahu kelas pekerja. Menulis mengenai pemerintahan Britain di India, dia berkata:

Segala usaha borjuasi Britain tidak akan membebaskan mahupun mengubah secara materialis keadaan sosial orang ramai, yang bergantung bukan kepada perkembangan kuasa-kuasa pengeluaran tetapi pada kegunaannya oleh orang ramai. Tetapi apa yang mereka tidak akan gagal melakukan adalah meletakkan dasar materialis bagi kedua-duanya. Pernahkah borjuasi membuat lebih dari itu? Pernahkah ia membawa kemajuan tanpa mengheret individu-individu dan golongan-golongan melalui darah dan kotoran, melalui kesengsaraan dan kebinasaan?

Orang India tidak akan menikmati kemanfaatan unsur-unsur masyarakat baru yang ditaburkan di kalangan mereka oleh borjuasi Britain sehingga di Britain sendiri, kelas-kelas pemerintah ditumbangkan oleh proletariat perindustrian, atau sehingga penganut Hindu sendiri menjadi cukup kuat untuk membuangkan kok Britain.

Pihak Britain akhirnya dihalau dari India, tetapi tugas asas yang dijelaskan oleh Marx masih belum diselesaikan. Sejak hari-hari Marx, kelas pekerja di India dan negara-negara Dunia Ketiga yang lain telah bertumbuh dan memainkan peranan yang lebih penting dalam usaha berinteraksi dengan pewaris pemerintahan imperialis, mahupun mereka merupakan borjuasi tempatan ataupun kuasa-kuasa asing yang baru. Namun demikian, pertumbuhan kelas pekerja antarabangsa merupakan proses yang bergerak dengan perlahan-lahan. Para pekerja hanya sekarang menjadi majoriti dalam golongan dunia yang tertindas dan dieksploitasi. Pelbagai bentuk paksaan ‘extra-ekonomi’ ke atas tenaga pekerja kekal sebagai ciri sistem kapitalis dalam abad ke-20. Dalam ekonomi-ekonomi membangun, kelas pekerja dapat diasingkan ke dalam lapisan-lapisan pertanian dan semi-proletariat. Dan para petani masih merupakan sebahagian besar daripada golongan dunia yang tertindas dan dieksploitasi. Tetapi di sebalik semua ini, seperti yang ditunjukkan oleh satu kajian, “sambil era penjajahan digantikan oleh penjajahan baru selepas Perang Dunia Kedua, maka pembahagian tenaga pekerja tradisional mula berubah. Sebahagian penting, walaupun tidak sama rata, daripada perkembangan perindustrian bermula di merata Dunia Ketoga, dan ini mengubahkan secara mendadak keadaan sosial dan ekonomi tenaga pekerja.” Ini adalah pembahagian tenaga pekerja antarabangsa baru yang:

… secara asas mengubahsuai hubungan pengeluaran di Dunia Ketiga, dengan penjelmaan sebuah sektor pengeluaran yang digerakkan menuju pasaran dunia. ‘Kilang-kilang pasaran dunia’ itu mengusahakan maha-eksploitasi ke atas pekerja mereka (kebanyakan yang merupakan pekerja perempuan), tetapi mewujudkan keadaan bagi pembangkitan pertempuran ‘klasik’ di antara tenaga pekerja dan kapital.

Kita sudah melihat proses pewujudan kelas secara ekonomi jangka masa lama mula meluahkan dirinya, walaupun dengan tidak rata, dalam kesedaran kelas dan pertubuhan kelas. Jika kita memberi perhatian kepada kesatuan-kesatuan pekerja di negara-negara seperti Afrika Selatan, Korea Selatan, Brazil dan Indonesia, kita dapat melihat potensinya. Dan, sebagai sebahagian daripada proses pertubuhan kelas ini, kesedaran politik dan pertubuhan-pertubuhan politik, yang kadang-kala bersifat sosialis, kini mula bertumbuh. Aliran-aliran ini bukannya sejenis, walaupun di antara pertubuhan-pertubuhan sosialis, di mana alternatif-alternatif reformasi dan revolusi wujud. Dan sosialisme, walau bagaimana ia dihuraikan, bukanlah satu-satunya ataupun idea utama yang infin meluahkan tentangan terhadap sistem yang sedia ada. Nasionalisme dan idea-idea Islam, untuk menyebut hanya dua daripada aliran utama, mendapat sokongan berjuta-juta orang pekerja, petani dan para pemiskin di merata dunia.

Namun demikian, para sosialis mempunyai peluang yang lebih baik daripada generasi-generasi lalu untuk membina sokongan untuk idea-idea mereka. Globalisasi telah mewujudkan sebuah kelas pekerja yang lebih besar daripada mana-mana masa dalam sejarah kapitalisme. Tetapi ia gagal membina sebuah sistem yang mampu menyediakan taraf hidup yang baik bagi berjuta-juta orang pekerja. Satu akibat daripada ini adalah desakan menuju peperangan, yang merupakan ciri utama struktur imperialis moden. Penumbangan Stalinisme bermaksud bahawa tidak terdapat mana-mana musuh ideologik untuk menyalahkan. Maka, keadaan ini telah mewujudkan krisis keyakinan dengan sistem ini. Peluahan secara fizikal bagi krisis ini adalah gerakan anti-kapitalis antarabangsa.

Di dalam gerakan anti-kapitalis inilah, yang kini juga menjadi gerakan anti-imperialis, di mana para sosialis dapat memenangi lebih ramai penyokong bagi idea bahawa para pekerja mempunyai kuasa untuk menumbangkan pemerintahan kapitalisme dan imperialisme. Lebih-lebih lagi, meraka dapat mengutarakan dengan berjaya pandangan bahawa sistem itu dapat digantikan dengan sistem tenaga pekerja secara bekerjasama yang memenuhi keperluan mereka yang menghasilkan kekayaan sosial. Alternatifnya adalah untuk membiarkan pemerintah-pemerintah kita terus mengusahakan imperialisme – iaitu pertubuhan kesengsaraan umat manusia.